Sunday 6 November 2011

Ucapan Alu-Aluan

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.


Assalamualaikum w.b.t.


Segala puji dan sanjungan hanya patut dikhususkan kepada Allah Azza wa Jalla yang menurunkan kitab panduan kepada hamba-hambaNya, iaitu al-Quran. Selawat serta salam pula ditujukan kepada sekasih-kasih hamba kepadaNya, iaitu penghulu kita, Muhammad s,a,w, Demikian juga kepada ahlul bait dan para sahabatnya sekalian. 


Kita memujiNya, serta memohon pertolongan dan ampun kepadaNya. Kita memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan diri dan keburukan amal perbuatan kita.Sesiapa diberi petunjuk oleh Allah, maka tiada yang dapat menyesatkannya. Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada yang dapat memberi petunjuk kepadanya.
Individu Muslim yang amanah adalah lambang dan bukti kebesaran, keagungan dan kesucian agama Islam yang berjaya menanam nilai yang begitu tinggi dan mulia. Orang amanah seperti Abu Bakar dan Muhammad Mukal adalah manusia yang berjiwa besar, tinggi maruah dan harga diri serta tidak mudah dikaburi oleh wang ringgit dan harta.
Sesungguhnya amanah adalah sifat mulia dan dipandang tinggi dalam Islam. Ia juga nilai yang sangat dipandang tinggi oleh semua agama dan tamadun. Prinsip hidup seorang Muslim berasaskan kepada menegakkan amanah dalam apa jua keadaan dan seorang Muslim sejati akan sedaya upaya menepati maksud Hadis Rasulullah SAW: ”Tidak beriman orang yang tidak amanah dan tidak beragama orang yang tidak berpegang pada janji”. Demikianlah tingginya kedudukan sifat amanah sehingga digambarkan sebagai pelengkap keimanan.
Amanah adalah salah satu kunci pembinaan dan kejayaan organisasi dan masyarakat. Sifat ini perlu dijaga dan diterapkan di kalangan semua anggota demi memastikan setiap tanggungjawab yang dipikul dapat disempurnakan untuk menghasilkan setinggi manfaat dan sebanyak kebaikan. Dalam kehidupan, sifat ini amat penting dan perlu sentiasa dijaga demi mendapat keredaan dan keberkatan Allah swt.
Pengawas merupakan individu yang memegang amanah yang paling berat dalam kalangan pelajar di sekolah. Blog ini diwujudkan bagi berkongsi info mengenai sekolah, disiplin, program yang dianjurkan di sekolah dan masalah yang di hadapi oleh pengawas SMK Agama Slim River supaya dapat kita bersama-sama memikirkan cara menyelesaikannya dan mengambil iktibar agar tidak berulang kembali masalah yang telah timbul. 


Jutaan terima kasih diucapkan kepada biro publisiti kerana telah mewujudkan blog ini sebagai salah-satu langkah pendekatan terhadap situasi yang berlaku di sekolah. Tidak dilupakan juga kepada pihak alumni SMK Agama Slim River khususnya saudara Harith Faisal yang telah banyak membantu menjayakan blog ini.